MANFAAT DAN CABARAN PELAKSANAAN FALSAFAH EKLEKTIK DALAM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA.



💡 Apa itu Falsafah Eklektik?

Falsafah Eklektik merupakan gabungan nilai-nilai baik daripada pelbagai sumber dan falsafah iaitu gabungan pelbagai gabungan idealisme, progresivisme, eksistensialisme serta Falsafah Islam.


💡 Mengapakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan dikategorikan sebagai Falsafah Eklektik?


Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dikategorikan sebagai Falsafah Eklektik kerana ianya terdapat unsur dan elemen dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) merentasi budaya, agama dan kepercayaan kaum di Malaysia. Terdapat gabungan nilai-nilai yang baik daripada pelbagai sumber dan falsafah iaitu idealisme, realisme, progresivisme dan eksistensialisme serta Falsafah Pendidikan Islam.


Manfaat Pelaksanaan Falsafah Eklektik dalam Perkembangan Pendidikan di Malaysia.

Falsafah eklektik memberikan banyak manfaat dalam memperkembangkan pendidikan di Malaysia iaitu melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Antara manfaat-manfaatnya adalah :

👉 Masyarakat dan pendidikan

Pendidikan memberi manfaat dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera serta memberi manfaat kepada negara dalam menyumbang kemakmuran negara. Hal ini demikian, perpaduan dan kesejahteraan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat.

👉 Orientasi ilmu

Pendidikan yang berorientasikan falsafah eklektik memberikan  ilmu kepada setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu dengan memberi penekanan kepada standard kurikulum, standard pembelajaran dan standard prestasi. Dengan ini, negara dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

👉 Pembelajaran

Pendidikan sepanjang hayat diberikan kepada setiap murid bagi meningkatkan potensi murid sepenuhnya dan pembelajaran yang aktif. Hal ini demikian, ianya dapat meningkatkan produktiviti kepada individu, masyarakat dan negara. Selain itu, sifat tanggungjawab dapat dipupuk terhadap diri setiap murid serta dapat membina kesejahteraan diri.

👉 Matlamat pendidikan

Melalui falsafah eklektik, matlamat pendidikan negara dapat dicapai dengan melahirkan warganegara harmoni yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan sejatera. Selain itu, melahirkan modal insan yang berpaksikan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan tercapai seperti yang tertulis dalam Rukun Negara yang pertama. Dengan ini, setiap individu mempunyai pegangan dan panduan hidup masing-masing serta dengan wujudnya kepelbagaian agama dapat memupuk perpaduan kaum.


Cabaran Pelaksanaan Falsafah Eklektik dalam Perkembangan Pendidikan di Malaysia.

Terdapat juga cabaran dalam melaksanakan falsafah eklektik dalam memperkembangkan pendidikan di Malaysia. Berikut merupakan aspek-aspek cabaran pelaksanaan falsafah eklektik :

💢 Aspek Seimbang dan Harmoni

Seimbang merujuk kepada moral manakala harmoni bermaksud akhlak. Berdasarkan FPK, akhlak dan moral perlu dibina menerusi penghayatan nilai-nilai murni merentasi kurikulum. Malangnya, sejak tahun 1998 strategi penerapan nilai-nilai murni telah diabaikan dan dilupakan. Akibatnya moral dan akhlak murid-murid di sekolah semakin merosot dan rosak.

💢 Aspek Menyeluruh dan Bersepadu

Pendidikan berorientasikan robot, kilang, lulus peperiksaan dan sekeping ijazah semakin diterapkan dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Oleh itu, FPK ( paradigma ilmu wahyu) hendaklah menjadi teras kepada fungsi akal (idealisme), kualiti kehidupan (realisme) dan keharmonian tabii’ insan (humanisme).

💢 Aspek Keharmonian rohani, intelek, emosi dan jasmani

Pada masa kini, pendidikan di Malaysia hanya memberikan penekanan kepada potensi jasmani kepada setiap pelajar. Dengan kata lain, pendidikan lebih mengutamakan kepentingan perniagaan, keuntungan, teknologi dan industri. Penekanan keterlaluan lebih mengfokus kepada potensi kreatif dan inovatif yang bersifat kebendaan semata-mata. Maka, tidak hairanlah jika hanya potensi jasmani sahaja yang berkembang sedangkan potensi rohani, intelek dan emosi tidak berlaku. Hal ini demikian, pendidikan yang tidak seimbang sudah tentu akan melahirkan modal insan yang tempang.

💢 Aspek Pendidikan Malaysia (acuan Malaysia)

Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah batu asas kepada pembangunan pendidikan menurut acuan Malaysia. Namun, perlaksanaan dasar pendidikan di Malaysia sentiasa berubah bahkan ianya tidak merujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, FPK tidak dirujuk secara jujur. Akibatnya, dasar pendidikan bertambah kabur, matlamat pendidikan tidak mempunyai fokus, kurikulum tidak mempunyai keharmonian dan seluruh sistem pendidikan semakan tidak jelas. 


💡 Kesimpulannya

Pendidikan merupakan nadi pembangunan sesuatu bangsa dan negara. Tanpa sistem pendidikan yang teratur dan berkembang sejajar dengan perkembangan zaman, ia boleh dianggap bangsa dan negara tersebut gagal dalam melaksanakan tanggungjawab dalam memartabatkan sesuatu bangsa dan negara. Oleh itu, dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut negara Malaysia tidak terlepas dengan situasi mencabar kewibawaan negara dalam menjadikan sistem pendidikan negara yang dihormati dan bertaraf dunia. 


RUJUKAN


Jusoh, M. (2016, March 13). Pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan; www.acedemia.edu. Retrieved December 28, 2021, from https://www.academia.edu/23187317/Pelaksanaan_Falsafah_Pendidikan_Kebangsaan_

E. (n.d.-a). Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Fpk) Sebagai. Scribd. Retrieved January 3, 2022, from https://www.scribd.com/presentation/250813960/Pembentukan-Falsafah-Pendidikan-Kebangsaan-Fpk-Sebagai

ABDULLAH, Z. A. I. N. I. (n.d.). MODUL PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA (FALSAFAH DAN DASAR). UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS.

Comments