PENGARUH FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM (FPI) TERHADAP PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA
PENGENALAN
💥FALSAFAH:
Perkataan yang berasal dari perkataan Yunani, iaitu philos (mencintai) dan sophia(kebijaksanaan). Apabila dua perkataan ini digabungkan, falsafah membawa maksud mencintai kebijaksanaan. Secara huraiannya, falsafah merupakan satu disiplin ilmiah yang mengkaji kebenaran yang umum dan asas. Selain itu, falsafah juga dapat ditafsirkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Secara ringkasnya, falsafah adalah satu usaha pemikiran mencari kebenaran.
💥PENDIDIKAN:
Pendidikan berasal daripada perkataan didik yang bererti pelihara, ajar dan jaga. Pendidikan boleh dihuraikan sebagai satu proses yang berterusan untuk menjaga dan memelihara pembesaran tubuh badan dan pertumbuhan bakat manusia dengan rapi supaya dapat melahirkan orang yang berilmu, baik tingkah laku dan dapat mengekalkan nilai-nilai budaya dalam kalangan masyarakat. Mengikut pandangan umum, pendidikan ialah aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Secara ringkasnya, pendidikan ialah satu proses atau aktiviti untuk mendidik insan menjadi seorang yang berilmu, berakhlak mulia agar dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat.
FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM(FPI)
Pendidikan
Islam adalah Pendidikan berterusan ke arah perkembangan diri individu
dari segi rohani, intelek, emosi dan fizikal yang membawa kepada individu yang beriman,
berakhlak, bertakwa dan beramal soleh untuk membina masyarakat harmoni,
hormat-menghormati dan bantu-membantu antara satu sama lain.
KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM(FPI)
Falsafah Pendidikan Islam ini menekankan konsep:
1. Pendidikan seumur hidup.
2. Pembangunan menyeluruh potensi (roh,akal dan jasad) serta emosi, rohani, intelek dan jasmani.
3. Menyampaikan fungsi abid (hamba) dan khalifah (wakil Allah di bumi).
4.Memakmurkan alam.
5. Kesepaduan dan kesempurnaan iman, ilmu dan amal soleh.
6. Merangkumi konsep al-Falah iaitu keseimbangan mengejar hidup dunia dan akhirat.
FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN(FPK)
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM SEBAGAI ASAS PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK)
Islam merupakan addin yang bersifat menyeluruh, bersepadu, seimbang dan sempurna. Islam tidak terbentuk dari pemikiran manusia tetapi fitrah untuk beragama. Meskipun dalam Al-Quran tiada dinyatakan istilah falsafah tetapi ada disebut tentang hikmah. Dari aspek cabang falsafah Islam, penekanan kepada kepercayaan mengawal pemikiran dan tindakan.
💢METAFIZIK : Mengenal kebenaran terhadap keesaan Allah s.w.t sebagai pencipta. Banyak tanda-tanda kebenaran yang dibuktikan menerusi diri manusia itu sendiri, alam dan makhluk dan tanda-tanda kehebatan dan kebesarannya.
💢EPISTEMOLOGI : Ilmu yang benar bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah dan ilmu-imu akal yang lain berasaskan kebijaksanaan berfikir untuk penyelesaian masalah dan menjadikan kehidupan manusia bertambah sempurna, baik dan maju.
💢AKSIOLOGI : Nilai kecantikan yang membentuk watak dan akhlak dalam diri manusia untuk mentadbir alam yang serba indah ini dengan sempurna.
💢LOGIK : Berfikir secara bijaksana untuk mencari kebenaran yang hakiki bagi menambahkan kecintaan terhadap kehidupan beragama dan mengenal Allah s.w.t.
Pada peringkat awal, tidak ada keseragaman dalam dalam membentuk falsafah pendidikan di seluruh negara. Semua negara Islam menggunakan dan mengamalkan dasar dan sistem pendidikan mengikut apa yang telah ditentukan oleh pemimpin negara masing-masing. Oleh kerana itu, ada yang membentuk ideologi yang ekstrim(contohnya Iraq dan Afganistan), falsafah yang diambil dari barat(contohnya Turki) dan falsafaha yang diadaptasikan dari negara-negara lain(Malaysia). Pada tahun 1977, Pertubuhan Negara-Negara Islam(OIC) sedunia mengadakan satu persidangan khusus untuk membincangkan hala tuju, bentuk, proses dan hasil pendidikan. Falsafah Pendidikan Islam didokumentasikan untuk dijadikan rujukan dan panduan dalam membina falsafah pendidikan di negara-negara yang diiktiraf sebagai negara Islam.
TOKOH-TOKOH FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM
| AL-BIRUNI |
| IMAM AL-GHAZALI Imam Al-Ghazali lebih dikenali sebagai ulama tasawuf dan akidah. Oleh sebab itu sumbangannya terhadap bidang falsafah dan ilmu pengetahuan lain tidak boleh dinafikan. Imam Al-Ghazali merupakan seorang ahli sufi yang bergelar "hujjatui Islam". |
| AL-FARABI Digelar Aristotle kedua.Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan pemikiran kedua tokoh tersebut ialah Al-Farabi. |
💡USAHA YANG BERTERUSAN
Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam terserlah dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyebut bahawa pendidikan di Malaysia adalah usaha yang berterusan. Falsafah Pendidikan Islam menekankan konsep pendidikan seumur hidup. Pendidikan seumur hidup atau dengan kata lain secara berterusan penting memandangkan perkembangan semasa yang sentiasa berubah. Islam mementingkan pendidikan sejak anak mereka masih kecil lagi. Nabi Muhammad SAW memerintah kepada umat Islam di manaibu bapa diwajibkan mendidik anak-anak mereka bersembahyang ketika berumur tujuh tahun.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa pembelajaran tidak berhenti di sekolah sahaja tetapi ianya berterusan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi malah mungkin ianya berterusan sepanjang hayat. Kerajaan telah melakukan program-program kepada golongan guru untuk mewujudkan budaya belajar sepanjang hayat. Sebagai contoh, dengan menggalakan golongan guru yang tidak mempunyai ijazah untuk sambung pelajaran untuk mendapatkan sijil yang lebih tinggi. Secara tidak langsung, ianya berkait dengan elemen usaha yang berterusan. Program ini telah memberikan kesedaran kepada guru untuk tidak mempuyai diploma atau ijazah sahaja, malah mereka digalakan untuk belajar ke peringkat yang paling tinggi.
Ini jelas membuktikan pendidikan menurut Islam adalah pendidikan sepanjang hayat dan ternyata konsep ini mempengaruhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
💡MENYELURUH DAN BERSEPADU
Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga menyebut tentang mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu sama ada dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah selain memberikan pendidikan keduniaan seperti ilmu akademik dan jasmani untuk mengembangkan semua potensi secara bersepadu adalah dengan menerapkan kepercayaan kepada tuhan. Ini akan melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi selain berilmu. Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu ini bertitik tolak dari konsep Falsafah Pendidikan Islam yang kedua. Islam tidak melihat dari sudut intelek sahaja dalam pembangunan manusia, tetapi secara menyeluruh, sepadu dan sempurna.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan kurikulum yang sesuai bagi mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.. Antaranya ialah dengan mewujudkan bidang mata pelajaran seperti Matematik dan Bahasa untuk tujuan komunikasi, bidang Pendidikan Agama Islam, Moral, Geografi dan Sains untuk mengenali manusia dan alam sekeliling serta pencipta kita. Bidang Muzik, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, kokurikulum dan bidang-bidang kemahiran manipulatif untuk memperkembangkan potensi individu secara bersepadu.
Justeru, konsep menyeluruh dan bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan terbukti dipengaruhi oleh Falsafah Pendidikan Islam yang paksi utamanya adalah al-Quran.
💡KEPERCAYAAN DAN KEPATUHAN KEPADA TUHAN
Falsafah Pendidikan Negara berteraskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Konsep ini bermaksud bahawa manusia dan alam dijadikan oleh Pencipta, mengetahui hukum dan fenomena alam mengikut peraturan Pencipta, dan menyedari bahawa manusia dijadikan untuk memakmurkan alam. Aspek ini adalah merupakan asas dan rukun yang utama dalam Falsafah Pendidikan Islam. Falsafah Pendidikan Islam tidak menerima sebarang pendidikan atau kurikulum yang menyebabkan manusia yang akan dilahirkan kelak manusia yang atheis. Manusia atheis hanya bertuhankan hawa nafsu dan kebendaan. Hal ini akan menyebabkan keharmonian dalam masyarakat akan terganggu. Asas pertama dalam Falsafah Pendidikan Islam ialah keimanan kepada Allah SWT.
Kepercayaan kepada Tuhan merupakan satu elemen yang sangat penting dalam pembentukan identiti negara Malaysia. Pihak kerajaan telah membentuk rukun negara dengan meletakkan prinsip kepercayaan kepada Tuhan pada tempat yang pertama. Ini menunjukkan betapa pentingnya prinsip ini kepada pembentukan sesebuah negara Malaysia yang harmoni di mana masyarakat di negara kita terdiri daripada pelbagai agama, kaum, budaya, bahasa, dan sebagainya. Dengan adanya kepercayaan kepada Tuhan oleh masyarakat di negara kita, ini akan mewujudkan satu masyarakat yang seimbang. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), perkara yang sangat dititikberatkan adalah berkaitan dengan soal keagamaan iaitu kepercayaan kepada Tuhan.
Kepercayaan kepada Tuhan adalah elemen yang ketujuh dalam Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dimana kalau kita lihat kepentingannya, semua pelajar Islam diwajibkan mengambil mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam dalam peperiksaan awam. Sementara itu, pelajar bukan Islam hendaklah diberikan pelajaran Pendidikan Moral. Kewajipan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pelajar-pelajar dapat mengamalkan konsep kepercayaan kepada Tuhan kerana mereka telah diajar perkara tersebut di dalam kelas.
Dalam melihat kepada kerelevan kepercayaan kepada Tuhan dalam kalangan pelajar-pelajar di negara kita berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pengkaji bersetuju dan berpendapat bahawa ianya begitu relevan dan sesuai mengikut peredaran zaman dan masa. Hal ini kalau kita lihat secara rasionalnya, pelajar-pelajar telah mengakui tentang wujudnya Pencipta. Pelajar-pelajar telah mengamalkan kepercayaan keagamaan masing-masing seperti agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Mereka mengakui bahawa manusia dan alam semesta dijadikan oleh Pencipta yang disebut sebagai Tuhan. Malah mereka juga mengetahui hukum dan fenomena alam merupakan peraturan yang ditetapkan oleh Pencipta. Pelajar-pelajar juga boleh berfikir dan menyedari bahawa manusia dijadikan adalah untuk memakmurkan alam dan bertanggungjawab di atas perbuatan yang dilakukan seperti percaya adanya syurga dan neraka, dosa dan pahala, hukuman dan tindakan dan lain-lain.
Oleh yang demikian, hubungan asas pertama dalam Falsafah Pendidikan Islam ini dengan pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berasaskan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan tidak dapat disangkal lagi bahawa diaspirasikan dari Falsafah Pendidikan Islam.
💡KEHARMONIAN DAN KEMAKMURAN MASYARAKAT DAN NEGARA
Falsafah Pendidikan Kebangsaan bertujuan melahirkan insan yang menyumbang ke arah keharmonian dan kesejahteraan negara. Tujuan ini dapat dicapai dengan memupuk perpaduan, melalui semangat kerjasama, berbakti, toleransi, kekitaan dan hormat-menghormati. Konsep Falsafah Pendidikan Islam pula adalah menyampaikan dua fungsi iaitu; sebagai hamba Allah dan khalifah Allah. Antara tanggungjawab sebagai khalifah ialah berusaha memakmurkan masyarakat dan negara. Islam tidak hanya menjaga hubungan hamba dengan Penciptanya, bahkan menjaga hubungan hamba dengan masyarakat sekelilingnya. Perkara ini jelas dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran yang menyuruh umat Islam tolong-menolong atas jalan kebaikan dan taqwa. (Surah al-Maidah:2) Justeru, konsep kemakmuran dan keharmonian masyarakat dan negara dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah dipengaruhi oleh Falsafah Pendidikan Islam. Berdasarkan elemen-elemen yang disebutkan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa asas pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dipengaruhi dan diaspirasikan daripada Falsafah Pendidikan Islam.
-
RUJUKAN
Tajuk 3: Tokoh-Tokoh Falsafah Pendidikan islam. Ali Edu Blog. (n.d.). Diakses pada Disember 2, 2021 http://aesnote.blogspot.com/2012/12/tajuk-3-tokoh-tokoh-falsafah-pendidikan.html
Falsafah Pendidikan. (n.d.). Diakses pada Disember 2, 2021. http://edutecnovasipdd.blogspot.com/p/falsafah-pendidikan.html
Hassan, M. N. (2018, Julai 9). Pengaruh falsafah Pendidikan Islam Terhadap Falsafah Pendidikan kebangsaan.docx. Academia.edu. Diakses pada Disember 2, 2021. https://www.academia.edu/37013793/Pengaruh_Falsafah_Pendidikan_Islam_Terhadap_Falsafah_Pendidikan_Kebangsaan_docx
Comments
Post a Comment